Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) ganti BSH – Belanjawan 2021
KUALA LUMPUR: Bantuan Sara Hidup (BSH) akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula Januari 2021, dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan lebih baik
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 hari ini, berkata BPR akan memastikan manfaat besar kepada golongan berkaitan.
Katanya, kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik adalah seperti berikut;
Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.
Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.
Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000 ringgit. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih.
Keempat: Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350.
“Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.
“Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi 2020, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diperkenal untuk mengurangkan beban aliran tunai bagi rakyat terkesan ekoran COVID-19 dan BSH, menyalurkan RM21 bilion ringgit kepada 10.6 juta penerima.
Pada Januari 2021, katanya, bayaran BPN 2.0 fasa kedua sebanyak RM2.2 bilion ringgit bakal disalurkan.
“Maka dengan Belanjawan 2021, kerajaan akan terus melaksana dan menambah baik bantuan tunai ini secara lebih bersasar,” katanya.